(Pitcha Credit to Inchik Gugel)
Rasa mengantuk, lesu, letih selepas makan tengah hari, macam-macam lagi, sebenarnya adalah perkara biasa yang berlaku kepada kebanyakan orang. Selalunya perkara-perkara di atas berlaku selepas sejam atau dua jam selepas makan tengah hari yang boleh menyebabkan kualiti kerja kita terjejas. Gaya hidup, tabiat pemakanan, cara kawal emosi merupakan faktor-faktor yang mempengaruhi kecergasan kita.
Di sini ada beberapa tips untuk meningkatkan kecergasan dan hilangkan rasa mengantuk di pejabat :-
1. Mesti Bersarapan Walaupun Tak Lapar.
Kajian menunjukan orang yang mengambil sarapan pagi mempunyai fizikal dan mental yang lebih baik. Sebelum datang kerja, bersarapanlah dulu.
2. Makan Setiap 3 Hingga 4 Jam Dalam Kuantiti Kecil
Makan secara teratur boleh mengawal paras gula dalam darah. Makan sedikit tetapi kerap lebih baik dari makan banyak dalam satu-satu masa. Pastikan makanan ada sumber karbohidrat dan protein sebagai sumber tenaga.
3. Lebihkan Sumber Serat.
Untuk kekal sihat, ambil makanan yang berserat. Kalau boleh sekurang-kurangnya 5 kali makanan berserat setiap hari. Tetapi kalau nak kekal sihat dan bebas penyakit, makanlah 5 hingga 9 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran.
4. Minum Banyak Air
Air sangat penting untuk pastikan organ-organ dalam badan kita berfungsi dengan optimum. Kekurangan air dalam badan akan menyebabkan darah dalam badan kita menjadi pekat dan memaksa jantung mengepam lebih kuat. Tanpa kita sedari, kita akan mudah mengantuk selepas makan tengah hari, itu tandanya anda kekurangan oksigen untuk sampai ke otak. Minum banyak air masak untuk mengatasinya selain ia boleh menyingkirkan toksin dalam badan.
5. Kurangkan Minuman Berkafein Terutama Pada Petang Dan Malam.
Kafein mempunyai kesan diuretik yang akan membuatkan anda selalu nak buang air kencing dan kehilangan banyak air. Ini tak bermakna anda tidak boleh minum teh atau kopi, cukuplah sekadar secawan sehari.
6. Segarkan Semangat Anda
Keletihan fizikal tak sama dengan keletihan mental. Biasanya keletihan mental membuatkan anda rasa tidak bermaya dan kadangkala tak bersemangat untuk buat apa-apa kerja. Kalau letih fizikal, lepas mandi, kemudian rehat dan tidur, anda akan berasa segar selepas itu. Bagaimana kalau letih dari segi mental? Ia adalah melibatkan emosi anda seperti marah, sedih, bosan, bimbang dan stress.
Badan bertindak balas dengan perasaan yang kita pilih. Jika kita berasa gembira, otak dan badan kita pun berasa sihat dan cergas. Kalau masih terasa lesu. Cuci muka. Kerana terapi air dapat membuatkan kita berasa lebih segar.
7. Jangan Mengeluh Dan Hilangkan Apa Yang Tebuku Di Hati.
Keluhan akan menyebabkan perkara-perkara negatif datang kepada kita. Ianya umpama magnet. Perasaan terbuku sebenarnya adalah kesan sampingan tekanan yang menyebabkan degupan jantung menjadi lebih cepat dan melajukan tekanan darah.
8. Jangan Pandang Rendah Pada Diri Sendiri.
Jangan sesekali rendah diri kepada diri sendiri. Cari kelebihan diri dan jadikan ia sebagai peransang semangat untuk teruskan hidup lebih baik. Didik diri menjadi seorang pemaaf kerana sikap kita memberi kesan kepada minda dan emosi kita.
9. Amalkan Teknik Pernafasan Yang Betul.
Tarik nafas dalam-dalam (hingga terasa udara di dalam ruang perut) tahan seketika dan lepaskan perlahan-lahan. Ulang 10 kali, kalau dalam keadaan tertekan pernafasan menjadi cepat dan pendek. Akibatnya kurang oksigen masuk dalam badan membuatkan kita mudah letih.
10. Senyum dan Lakukan Perkara Yang Baik
Pernah dengar tak lagu ni “senyummm.. tak perlu kata apa-apa….” . Senyum bukan sahaja buat orang berasa senang tapi mententeramkan perasaan kita. Selain itu lakukakn perkara baik dengan membantu orang sekeliling. Senyuman kurang penggunakaan otot, berbanding ketika kita masam dan marah. Sebab tu orang cakap jangan marah-marah nanti cepat tua.Hihi..
11. Bersenam.
Ini adalah cari paling berkesan untuk kembalikan tenaga dan semangat kita. Mesti ramai yang cakap, kalau dah letih, macam mana nak bersenam? Sebenarnya dengan bersenam, kita akan keluarkan lemak dari badan dan secara tak langsung membuatkan badan menjadi segar, fikiran tenang, dan lebih mudah untuk tidur.